Siapa Kami?
Pautan
 
 
Perutusan Ketua USIA Bahagian
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas kehendak-Nya saya diberi amanah untuk menerajui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Bahagian Tambunan (USIA), iaitu suatu amanah yang amat berat dan mencabar. Ini kerana ia amat berkait rapat dengan usaha memelihara serta meningkatkan syiar Islam di Tambunan khususnya dan di Sabah amnya melalui usaha dakwah dan tarbiah islamiah.

Sehubungan itu, saya dengan penuh sedar bahawa amanah yang dipikulkan oleh para ahli ke atas bahu saya ini tidak mungkin dapat saya jalankan tanpa sokongan, bantuan dan kerjasama dari seluruh ahli jawatankuasa dan ahli USIA di semua peringkat (Bahagian dan Cawangan) ibarat sebuah kenderaan yang memerlukan sokongan keseluruhan anggotanya untuk terus bergerak ke hadapan.

Atas hakikat ini, saya mengajak setiap ahli USIA Bahagian Tambunan supaya bekerjasama dengan saya melaksana dan menjayakan amanah Allah S.W.T dan amanah ahli ini melalui program-program kemasyarakatan, kebajikan serta dakwah Islamiah.

Salah satu pendekatan awal yang saya ambil sebaik sahaja memegang teraju USIA Bahagian Tambunan sebagai ketua adalah dengan melakukan sedikit perubahan dengan mengenal pasti pejabat USIA yang tetap untuk memantapkan lagi pentadbiran seharian. Seperkara lagi adalah memantapkan penggunaan ICT terutama pembangunan laman web bagi memudahkan orang ramai yang sentiasa sibuk dengan tugas menghubungi pemimpin USIA peringkat bahagian dengan hanya melayari internet atau talian.

Pada masa yang sama, tekad pada sesi ini adalah untuk memantapkan barisan ahli jawatankuasa USIA di Peringkat Cawangan kerana pada peringkat inilah sebenarnya kekuatan dan kegagahan USIA di peringkat Bahagian malah di Peringkat Negeri.

Seterusnya, azam kami barisan kepimpinan sesi ini cuba berusaha menghidupkan budaya ambil berat (ihtimam) terutamanya soal kebajikan para ahli khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Satu sayap atau biro baru dicadangkan dinamakan GERAK USIA yang akan berfungsi secara aktif dikalangan belia dan beliawanis yang antara lain bertindak sebagai barisan hadapan sekiranya berlaku apa-apa bencana alam atau harta di kalangan ahli mahupun di kalangan masyarakat sekitar Daerah Tambunan.

Akhirnya, saya dengan penuh harapan mengharapkan sokongan dan kerjasama utuh di kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian sesi ini untuk meneruskan misi dan visi yang belum tercapai.

"Perjuangan Mesti Diteruskan"

Sekian, wassalam.

JUMAIN ABDUL GHANI

Copyright © 2007 USIA Tambunan. All rights reserved. Manage by USIA.
Best viewed with 1024x800 display resolution and using IE or firefox